SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk membina sosial media sendiri mendapat bantahan awal daripada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa duit pembayar cukai bakal ‘hangus’ lagi.
Syed Saddiq berkata, bantahan berkenaan dibuat susulan Malaysia telah mempunyai ratusan aplikasi kementerian atau agensi yang bertindih dan pada akhirnya tidak berfungsi.
"Kini kerajaan nak bina aplikasi media sosial pula. Guna duit siapa? Ratusan juta duit pembayar cukai.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti sedang diusahakan oleh beberapa negara.
Fahmi memaklumkan, hal ini kerana ada antara penyedia aplikasi media sosial didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini, namun dalam masa sama gagal menjamin soal keselamatan penggunanya.
Menurutnya, Facebook pada tahun lalu dianggarkan mengaut keuntungan AS$600 juta dari Malaysia tetapi tidak menyediakan platform yang selamat buat pengguna di negara ini.