SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menyiasat kejadian tumpahan minyak di Chuah, Mukim Jimah, Port Dickson.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, sampel minyak tersebut telah pun diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengetahui punca kejadian.
"Pada 4 Ogos (Ahad), JAS telah membuat siasatan di Lot 3656, Mukim Jimah tanah di Chuah sehingga pintu kawalan pasang surut saliran Chuah, Gate B setelah menerima aduan melalui e-Aduan terdapatnya pencemaran.
"Pengadu menyatakan bahawa ada tumpahan minyak yang mengalir dari saliran rancangan Chuah ke pintu kawalan pasang surut Chuah apabila mendapati aliran tersebut berwarna hitam pekat dan gelap," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dilakukan JAS dan pemantauan secara mingguan di lokasi kejadian termasuk menggunakan dron.
Ujarnya, perincian mengenai bahan yang disyaki tercemar juga akan diketahui setelah mendapat keputusan dari Jabatan Kimia Malaysia.
"JAS juga memaklumkan bahawa notis arahan bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dikeluarkan terhadap pemilik tanah setelah mendapat maklumat dari Pejabat Tanah Port Dickson.
"Saya ingin tegaskan di sini bahawa pengurusan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama serta ketidakcekapan mengurus akan memberi kesan yang cukup negatif kepada semua," katanya.
Tambahnya, pihak yang terlibat dengan insiden terbabit akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.