Isteri, anak-anak reda pemergian Jay Jay

Iklan
Camelia menyiram pusara bapanya. Foto Bernama

ISTERI kepada penyanyi Jay Jay iaitu Zaitoon Wahid, 61, reda dengan pemergian suami tercinta yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thomson, Kota Damansara pada Ahad lalu.

Katanya, arwah menghembuskan nafas terakhir jam 9.27 malam dalam tidurnya.

Iklan
Iklan

"Dia pergi dengan tenang, alhamdulillah... selepas apa yang dilalui, dia tidur dan pergi buat selamanya. Anak-anak dan adik-beradik arwah semuanya ada di saat arwah menghembuskan nafas terakhir.

Zaitoon

"Alhamdulillah kami tengok dia pergi dengan tenang dan sebelum itu dia tiada pun tunjuk tanda-tanda dia sakit tetapi keadaannya makin teruk selepas Aidilfitri yang lalu,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, di Petaling Jaya pada pagi Isnin.

Iklan

Berkongsi keadaan kesihatan Allahyarham, Zaitoon berkata, arwah mula mengalami komplikasi organ dalaman selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Ditanya pesanan terakhir arwah, ujar Zaitoon, Jay Jay meminta dia menjaga keluarga dan anak-anak dengan baik.

Iklan
Zaitoon (dua dari kiri) setia di sisi suaminya.

Dalam masa sama, Zaitoon turut meminta peminat yang merindui suaminya itu untuk menitipkan doa serta mendengar lagu-lagu Allahyarham.

"Arwah seorang yang penyayang dan mengambil berat. Dia suka luangkan masa bersama keluarga, tidak kira sesibuk mana pun, dia akan tetap luangkan masa bersama anak-anak dan cucu," jelasnya.

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Nur Camelia Mohd Fauzi, 28, berkata, dia melihat betapa kuat bapanya berjuang walaupun nampak kesukaran.

Camelia

Katanya, sebagai anak, dia tidak sanggup untuk melihat pelbagai prosedur dilakukan bapanya dalam masa singkat.

"Saya nampak betapa kuatnya dia melawan sakit yang dialami walaupun kesakitan itu sudah berlebihan untuk dia.

"Jadi kami kata pada dia, tidak mengapalah papa, papa rehatlah, tidak perlu terseksa lagi, anak-anak pun sudah besar," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Menyifatkan bapanya tiada galang ganti, Camelia berkata, arwah sering bertanya bilakah beliau dapat kembali membuat persembahan dan mempunyai pesona tersendiri.

"Dia suka luangkan masa dengan anak, cucu. Dia tidak suka luangkan masa melepak dengan kawan-kawan. Kalau tidak sibuk di studio atau persembahan, masanya adalah bersama keluarga," ujarnya.

Selain Camelia, Allahyarham meninggalkan tiga lagi anak iaitu Nur Amalina, 38, Nur Dahlia, 36, Muhammad Nifail, 32, dan enam orang cucu.

Jenazah Allahyarham Mohd Fauzi atau dikenali sebagai Jay Jay diusung masuk ke Masjid Al-Husna Bandar Sunway untuk solat jenazah pada Isnin.

Terdahulu, lebih 200 orang kenalan dan keluarga hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Antara yang kelihatan adalah Datuk M Nasir, Datuk DJ Dave, Datuk Nash, Datuk Hattan, Azan Addin, Betty Benafe dan komposer S. Atan.

Allahyarham Jay Jay selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Petaling Jaya kira-kira jam 11.15 pagi, Isnin.