Insan baik, kehilangan Jay Jay dirasai teman

Iklan
Nash, Hattan

BIARPUN keadaan kesihatan Allahyarham Jay Jay diketahui umum sejak Jun lalu, namun pemergian penghibur berusia 67 tahun itu tetap mengejutkan rakan seindustri.

Sementelah lagi, pemilik nama sebenar Mohd Fauzi Darus itu turut menjadi antara individu penting di sebalik pembikinan album beberapa penyanyi popular tanah air seperti Datuk Nash.

Iklan
Iklan

Dikenali sebagai seorang yang baik dan lemah lembut tutur kata, Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias berkata, ketika hayatnya arwah tidak lokek berkongsi ilmu nyanyian.

Malah, arwah juga merupakan orang penting dalam pembikinan tiga albumnya sebelum ini.

Iklan

"Saya pernah bekerja bersama arwah untuk tiga album, jadi banyaklah sejarah bersama arwah. Kalau nak tahu, lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu juga merupakan air tangan arwah.

"Pernah saya dimarahi arwah kerana gagal menyampaikan mood yang sepatutnya untuk lagu itu kerana tidak berpengalaman, tetapi arwah sabar memberi tunjuk ajar dan apa yang anda dengar pada lagu itu sekarang adalah kerana tunjuk ajar dan jiwa arwah," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Iklan

Tambah Nash, 64, beliau sempat menziarahi arwah semasa mendapatkan rawatan di IJN dan tidak menyangka ia merupakan momen terakhir bertemu rakan baiknya itu.

"Semoga ALLAH angkat darjatnya dan diluaskan kuburnya," ujarnya.

Turut sama mengakui kebaikan arwah adalah Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 59 tahun.

Ujarnya, Allahyarham bukan sahaja seorang penyanyi tetapi juga pemain bass, komposer, pengubah muzik yang berbakat besar.

"Dalam hidup, saya belum pernah jumpa orang yang sebaik Allahyarham Jay Jay. Keperibadiannya amat saya kagumi.

"Beliau memang baik, saya tak pernah jumpa orang baik macam beliau... sangat baik. Saya memang minat beliau dari dulu dan jika masuk pertandingan, saya suka nyanyi lagu Carefree.

"Saya tidak suka nyanyi lagu Rindu Bayangan, saya lebih suka lagu Dendangan Anak Tani," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang.

Jay Jay memulakan karier seni sebagai vokalis dan pemain bass kumpulan Carefree pada tahun 1979. Biarpun jodoh bersama Carefree tidak berpanjang, Allahyarham meneruskan perjuangan secara solo menerusi tujuh album, enam album kompilasi.

Selain itu, arwah sering berduet bersama penyanyi terkenal seperti bersama Dayangku Intan menerusi lagu Kita Insan Biasa (1988) dan Peralihan Zaman (1989), selain bersama Ning Baizura (Erti Pertemuan), kumpulan Mirwana (Aku Tanpa CintaMu) dan Datuk Ramli Sarip (Senandung Hidup Berbudi).

Bagaimanapun kini, hasil karya Jay Jay kini tinggal sebagai kenangan berharga selepas arwah menghembuskan nafas terakhir di Thomson Hospital, Kota Damansara sekitar pukul 9.27 malam Ahad akibat kegagalan organ dalaman selepas diserang strok.