Untung atas angin, beli diesel subsidi jual semula harga tinggi

Iklan
Lori disita untuk siasatan lanjut oleh pihak KPDN Sabah.

KOTA KINABALU - Tindakan seorang lelaki cuba mengaut keuntungan dengan menjual semula diesel dengan harga yang tinggi membawa padah apabila dicekup ketika sedang membeli bahan api itu di sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Panglima Banting, Penampang, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek berusia 31 tahun ditahan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, selepas pemeriksaan di belakang lori dipandunya mengandungi sebanyak 206 liter diesel.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, kegiatan penyelewengan barang kawalan itu berjaya dilakukan menerusi operasi Ops Tiris yang dilakukan di Penampang.

"Sebuah lori kotak jenama Daihatsu Model Super Delta dikesan cuba membuat pembelian diesel di sebuah stesen minyak dan hasil pemeriksaan lanjut terdapat tangki tambahan jenis fiber berada di belakang lori tersebut.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut menemui minyak diesel dipercayai untuk dijual semula dengan harga lebih tinggi dari harga subsidi di Sabah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Belakang lori terdapat tangki tambahan jenis fiber untuk menyimpan diesel yang dibeli dari stesen minyak.

Katanya lagi, pemandu juga gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli serta membawa diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan tersebut.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan melibatkan individu.

"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM5 juta," katanya.