SHAH ALAM - Ketegasan dalam mendidik dan membesarkan anak dengan tidak mendedahkan kepada gajet selagi usia belum mencapai enam tahun akhirnya membuahkan hasil.
Menurut seorang bapa kepada tiga orang anak, Raja Faizul Raja Shahminan, 40, kesemua cahaya matanya petah bercakap dan bijak menghafal sejak berusia dua tahun.
"Saya jadikan tabiat bercerita sebelum tidur dan sentiasa berbual dengan mereka sebagai rutin harian memandangkan saya hanya bekerja dari rumah.
"Kebiasaannya topik yang menjadi pilihan adalah berkaitan kisah Rasulullah SAW atau berselawat dan menyebut kebesaran ALLAH SWT," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut Raja Faizul memaklumkan, dia turut menerapkan kaedah hafalan menerusi beberapa rangkap pantun kepada anak-anak.
"Kalau bercakap dengan anak-anak pula, saya gunakan bahasa yang betul. Maksudnya, tiada sebarang pelat. Lama-kelamaan, mereka akan ikut dan petah bercakap seperti orang dewasa.
"Kebiasaannya saya dan isteri akan membahagi tugas, dia selesaikan kerja rumah manakala, saya akan ambil tugas untuk mendidik serta bermain dengan anak," jelasnya.
Menurut Raja Faizul, perkembangan kanak-kanak dilihat lebih cepat berlaku apabila mereka mendapat perhatian lebih daripada bapa.
Tambahnya, ibu bapa memerlukan kesabaran yang tinggi dalam mendidik anak-anak dan jangan sesekali melepaskan emosi marah atau masalah lain terhadap mereka.
"Setiap kali nak marah, banyakkan selawat dan sentiasa bersyukur kerana kita dikurniakan cahaya mata. Banyak lagi pasangan lain yang masih menanti zuriat walaupun sudah lama berkahwin.
"Proses mendidik tidak susah, mulakan dengan cerita mengenai kebesaran ALLAH serta kisah-kisah Nabi terlebih dahulu insya-ALLAH akan dipermudahkan.
"Kini zaman teknologi, sebenarnya ibu bapa yang lalai dengan gajet masing-masing dan menganggap tiada masa untuk bersama anak-anak tetapi masih ada kesempatan untuk main media sosial.
"Jadi itu tak betul. Seeloknya masa yang kita ada dengan gajet itu perlu diluangkan bersama anak-anak. Kita kena bijak atur masa, habiskan waktu dengan mereka. Insya-ALLAH proses membesar dan mendidik juga lebih teratur," ujarnya.