PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Belanjawan 2025 dijadual dibentangkan pada 18 Oktober depan di Dewan Rakyat, memberi tumpuan kepada aspek menangani dan mengurangkan kos sara hidup.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesan.
"Walaupun saya boleh sebut gula, minyak, tepung, minyak masak kita adalah paling murah... tapi bagi rakyat Malaysia, masih merasa beban.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Perdana Menteri berkata, MoF menerusi usaha rentas kementerian, harus memikirkan dan mencari kaedah serta jalan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Kos sara hidup yang meningkat itu antara lain disebabkan oleh masalah ketirisan, rasuah, seludup dan kartel, katanya.
"Pengalaman Saudara (MoF) sama ada dalam penguatkuasaan atau perancang dasar akan lebih faham, tidak mungkin kita tidak fikir kaedah dan jalan untuk mengurangkan kos.
"Kos ini meningkat di antara lain (disebabkan) ketirisan, rasuah, seludup dan keuntungan berlebihan melalui kartel,” katanya. - Bernama