Ringgit paling kukuh berbanding dolar AS di Asia

Iklan
Rafizi Ramli (kiri), Ringgit mengatasi mata wang utama dan serantau berbanding dolar AS.

SHAH ALAM - Ringgit adalah satu-satunya mata wang di Asia yang telah mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini, dengan pengukuhan sebanyak 2.16 peratus.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mata wang tempatan juga mengatasi prestasi dolar AS selama 10 hari berturut-turut, iaitu prestasi terbaik dalam 14 tahun.

Iklan
Iklan

Malah katanya, prestasi ringgit juga mengatasi beberapa mata wang utama antarabangsa seperti pound British, RMB China dan Euro.

"Beberapa perkembangan terkini ekonomi negara termasuk naratif ekonomi yang meyakinkan, pelaburan asing makin meningkat, komitmen pengukuhan fiskal dan pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024 mendorong mata wang ringgit sedang menunjukkan tanda-tanda pengukuhan mendadak.

Iklan

"Hal ini membuktikan bahawa hala tuju dasar kerajaan sedang berhasil dan mula menarik perhatian dan keyakinan pelabur semula.

"Komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap pembaharuan fiskal yang sukar dan perancangan ekonomi yang komprehensif telah menghasilkan satu naratif pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya dalam hantaran di aplikasi X pada Selasa.

Iklan

Tambah Rafizi, bergerak ke hadapan, pihaknya menjangkakan pemotongan kadar faedah pertama di AS yang boleh berlaku seawal pertengahan September akan terus mengukuhkan lagi kedudukan ringgit.

Jelasnya, walaupun terdapat kata sepakat dalam kalangan firma penyelidikan bahawa ringgit akan terus mengukuh, tumpuannya kekal pada pelaksanaan dasar yang telah dirancang secara berkesan.

"Ekonomi dunia akan terus bergolak dalam masa terdekat yang akan terus mempengaruhi turun naik ringgit.

"Nilai ringgit hanya akan dapat dipertahankan daripada ketidaktentuan global ini sekiranya ekonomi negara distrukturkan ke arah berteknologi tinggi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” ujanya