SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Masih terlalu awal untuk membincangkan isu agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) di Selangor.
Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Selangor baharu selesai menjalani Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu dan terdapat sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk diadakan pilihan raya seterusnya.
Menurutnya, ketika ini sepatutnya penumpuan diberikan kepada khidmat kepada rakyat berbanding berpolitik.
"Soal kerusi akan dibincang kemudian, buat masa sekarang (sebaiknya) fokus pada mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan secara terbuka dibuat Ketua UMNO Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berharap agar parti itu diberikan satu kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.
Tengku Zafrul berkata demikian pada Ahad ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja yang turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Daripada empat kerusi di bawah Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul meminta diberikan peluang kepada UMNO Kota Raja untuk bertanding satu kerusi atas semangat perpaduan.
Salah satu kerusi yang diminta itu sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, Sungai Kandis, Kota Kemuning atau Parlimen Kota Raja.
Mohd Khairuddin berkata, permintaan Tengku Zafrul itu akan dibincang dan diputuskan kemudian.
"Semua parti berhak untuk membuat perancangan namun, semua pembahagian kerusi akan dibincang oleh pimpinan tertinggi Perpaduan Selangor kelak," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim berpandangan, kenyataan seperti itu tak wajar dibuat secara terbuka yang sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu.
"Kerusi-kerusi di Selangor ini adalah muafakat sesama PH dan BN dan apa juga perkara perlu dibincang bersama terlebih dahulu," katanya.
Katanya, Amanah hanya memiliki satu kerusi Parlimen iaitu di Kota Raja.
"Untuk makluman kerusi Parlimen Amanah di Selangor adalah terkecil berbanding PKR dan DAP.
"Malah di Kota Raja sendiri Amanah hanya ada satu parlimen sedangkan dua DUN di Kota Raja adalah milik PKR dan satu milik DAP," katanya.
PRN lalu menyaksikan PH berjaya mengekalkan pentadbiran negeri selepas menang 32 kerusi, diikuti BN dengan dua kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 22 kerusi.
PH-BN membentuk kerajaan Perpaduan Selangor selari dengan pentadbiran peringkat Pusat.