KUANTAN - Polis sedang mengesan waris mayat seorang lelaki yang ditemukan tergantung di sebuah rumah di Lorong Peramu Aman 31, Tanjung Lumpur pada 10 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat tersebut masih belum dituntut dan berada di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Iklan
Iklan
Menurutnya, mayat lelaki tanpa identiti dan belum dikenal pasti bangsa itu ditemui tergantung dengan hanya memakai kain pelekat tanpa baju.
"Polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri di rumah tempat mangsa ditemui.
"Semakan telah dibuat dengan ketua kampung dan penduduk, namun mereka tidak mengenali lelaki itu," katanya.
Mohamad Noor berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan oleh mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga.
"Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Jusoh di talian 017-8610460 untuk hadir membuat proses pengecaman dan menuntut mayat tersebut," katanya.