KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil tindakan segera terhadap kos pengambilan lesen memandu yang didakwa semakin meruncing di Malaysia.
Menurut Naib Ketua Pemudanya, Goh Tee Long, situasi itu menimbulkan kebimbangan bagi golongan berpendapatan rendah yang semakin terhimpit dengan kos kehidupan yang tinggi dalam era pentadbiran kerajaan hari ini.
"Saya memohon agar Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan memberi perhatian serius terhadap isu ini," tegas beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya lagi, baru-baru ini tular satu hantaran dimuat naik suami kepada seorang selebriti tanah air mengenai sebuah syarikat kelas memandu mengenakan bayaran untuk pengambilan lesen kereta lebih RM3,000.
"Individu yang memuat naik itu boleh dikategorikan sebagai T20 ataupun mempunyai kemampuan pun mengeluh. Bayangkan golongan B40 dan M40 apa perasaan mereka," ujarnya.
Ujarnya lagi, adalah amat penting bagi kerajaan untuk campur tangan dan memastikan harga bagi mendapatkan lesen memandu adalah berpatutan dan tidak membebankan rakyat, terutamanya golongan B40 dan mereka yang berpendapatan sederhana.
"Jika kerajaan tidak dapat mengawal harga ini dengan segera, Tee Long juga mengesyorkan memperluaskan insentif atau subsidi yang sedia ada kepada lesen kereta, GDL dan memberikan kepada mereka yang kurang kemampuan.
"Ini bukan sahaja untuk memastikan keadilan sosial, tetapi juga untuk meningkatkan keselamatan jalan raya apabila lebih ramai pemandu dilatih secara formal," ujarnya.
Tee Long sehubungan itu berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini untuk kesejahteraan dan keadilan sosial rakyat Malaysia.