21 pemandu lori positif dadah ditahan

Iklan
Anthony Loke (tengah) melihat sebuah lori yang ditahan JPJ kerana melakukan kesalahan berat semasa operasi khas bersepadu kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak, Selangor pada Selasa. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.

GOMBAK - Seramai 21 orang pemandu kenderaan perdagangan disahkan positif dadah semasa empat hari operasi bersepadu dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula Khamis.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam operasi empat hari tersebut, seramai 276 pemandu kenderaan perdagangan menjalani ujian saringan air kencing.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, jumlah yang diperoleh itu satu statistik yang sangat membimbangkan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya.

"Walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi ia cukup membimbangkan.

Iklan

"Tindakan tegas akan diambil dan tiada kompromi kepada mereka," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika melawat pemantauan operasi khas bersepadu kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak.

Iklan

Hadir sama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, operasi bersepadu melibatkan bas ekspres dan pelancongan selama sebulan bermula 2 Julai lalu, sebanyak 19,456 buah kenderaan diperiksa.

Kata beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 667 kenderaan telah diambil tindakan dan sebanyak 14 buah disita.

Selain itu menurutnya, sebanyak 809 notis dikeluarkan dan sejumlah 434 diarah menjalani pemeriksaan.

Bagi pemeriksaan kenderaan perdagangan selama empat hari bermula Khamis, beliau berkata, kenderaan yang diperiksa sebanyak 42,343 buah.

Daripada jumlah itu, menurutnya, sebanyak 3,725 kenderaan perdagangan telah diambil tindakan.

"Sebanyak 28 buah kenderaan disita dan 9,088 notis dikeluarkan bagi kenderaan perdagangan," ujarnya.