KES saman penulis skrip drama berjudul ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’, Haironizam Mohd Idris terhadap pelakon, Amelia Henderson akan diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikan isu berkenaan secara baik, di Pusat Mediasi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.
Peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor berkata, tiada sebarang penyelesaian dicapai antara anak guamnya, Haironizam, 37, selaku plaintif yang lebih dikenali atas nama pena, Rehal Nuharis dengan Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 29, sebagai defendan di hadapan Timbalan Pendaftar, Mazilah Manap.
Susulan itu beliau berkata, kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan pada 6 dan 7 Februari 2025, di hadapan Hakim, Fa'iz Dziyauddin.
Menurutnya, mahkamah turut menetapkan pengurusan kes secara talian pada 4 Oktober depan untuk mengemaskini pemfailan dokumen pra-bicara.
"Hari ini merupakan mediasi antara dua pihak terlibat, iaitu proses yang dibuat sekiranya ada penyelesaian secara damai tanpa memerlukan perbicaraan.
"Bagaimanapun, usaha ini tidak berjaya selepas dua pihak tidak mencapai kata sepakat, salah satunya membabitkan tawaran kes," katanya.
Setakat ini, beliau berkata, kedua-dua pihak, akan memanggil masing-masing dua saksi namun berkemungkinan akan ada penambahan menjelang prosiding itu kelak.
Sementara itu, peguam, Mansheel Kaur yang mewakili pelakon drama 'Jangan Benci Cintaku' itu berkata, proses penyelesaian gagal kerana tiada persefahaman daripada kedua-dua pihak.
"Kami telah bersedia untuk perbicaraan dan senarai saksi yang akan memberi keterangan dalam kes saman ini, masih dalam perbincangan,” katanya selepas prosiding kes mediasi itu.
Dalam saman yang difailkan pada 20 September 2023, plaintif mendakwa, Amelia memuat naik siaran video secara langsung melalui akaun Instagram miliknya pada 25 Jun 2022, dengan memberi kenyataan menjatuhkan reputasi serta memprejudiskan nama baik plaintif berhubung drama ‘Sekali Lagi Cinta’.
Plaintif mendakwa video tersebut telah memberi gambaran negatif tentang penulisan skrip plaintif dalam drama tersebut yang menyokong keganasan rumah tangga selain komen pihak ketiga terhadap kenyataan yang dibuat defendan itu mendatangkan kecaman, kebencian serta kemarahan terhadap plaintif.
Sehubungan itu, plaintif antaranya memohon satu injuksi tetap untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya menyebarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah tersebut secara lisan, media cetak atau internet selain menuntut ganti rugi am, khas dan teruk.
Pada 7 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen Sivil di sini memerintahkan Amelia Henderson membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd.
Ia berhubung isu pelanggaran kontrak drama, selepas mendapati Amelia telah melanggar terma-terma kontrak dalam drama 'Sekali Lagi Cinta Kembali'.
Bagaimanapun pada 27 Oktober tahun sama, Amelia Henderson berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, bagi mengetepikan keputusan itu.
Mahkamah menggantikan bayaran itu dengan memerintahkan pelakon popular berkenaan membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dalam tempoh 14 hari.