SEREMBAN - Kekangan sumber kewangan disebabkan caj penyenggaraan yang tidak dapat dikutip selain terdapat pertikaian antara pemaju dan badan pengurusan bersama (JMB) dipercayai punca Wisma Punca Emas di sini, terbiar.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, sebelum ini tular laporan media bangunan berkenaan kini berada dalam keadaan tidak terurus dan tidak diselenggara serta hanya seorang peniaga yang masih kekal di situ.
Menurutnya, wisma berkenaan di bawah skim pemajuan strata yang siap dibina sekitar tahun 1982 namun, skim berkenaan tidak lagi mendapat sambutan.
"Ia disebabkan perubahan permintaan ruang perniagaan dan trend pemain industri seiring dengan pertumbuhan pusat beli-belah yang baharu serta lebih moden.
"Tambahan pula kejadian kebakaran yang berlaku sekitar tahun 2018 menyebabkan masalah pendawaian elektrik seterusnya memberi kesan terhadap kemerosotan aktiviti perniagaan di dalamnya," katanya.
Ujarnya, keadaaan itu menyukarkan lagi usaha pihak pengurusan untuk membaik pulih dan menghidupkan semula aktiviti perniagaan di bangunan tersebut.
Masri berkata, beliau selaku Datuk Bandar Seremban sebagai Pesuruhjaya Bangunan (COB) sentiasa prihatin terhadap skim pemajuan strata di dalam kawasan pentadbiran MBS.
"Mengikut rekod Unit COB MBS, jumlah keseluruhan skim pemajuan berstrata di bawah pemantauan MBS adalah sebanyak 651.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 243 skim atau 37 peratus adalah skim strata komersial. JMB bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara bangunan dalam skim pemajuan berstrata seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)," katanya.
Beliau berkata, MBS sentiasa menyokong usaha untuk memastikan Wisma Punca Emas dapat berfungsi semula dan diurus serta diselenggara dengan baik.
"Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab setiap pemilik petak untuk membayar caj penyelenggaraan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 25, Akta 757 bagi memastikan JMB mempunyai sumber kewangan untuk mengurus dan menyelenggara bangunan itu," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan hanya terdapat seorang peniaga yang masih bertahan di Wisma Punca Emas menjalankan perniagaan menjahit pakaian menggunakan generator.