Polis siasat suspek culik Albertine Leo mungkin seorang pedofilia

Iklan
Kumar (dua kiri) pada sidang akhbar di IPK Johor.

JOHOR BAHRU - Siasatan polis terhadap kes penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, di Iskandar Puteri, bulan lalu kini tertumpu kemungkinan suspek merupakan pedofilia.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, siasatan diteruskan selepas penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di rumah suspek pada 4 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

"Kita sudah dapat petunjuk baharu selepas 'sex toys' dan semua yang ditemukan itu, jadi siasatan akan menjurus ke arah itu.

"Kita harap dapat mengenal pasti motif sebenar (penculikan) dalam masa terdekat. Proses (siasatan) sedang berjalan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, siasatan kes itu masih berjalan walaupun sebelum ini suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan ditangkap semula selepas mendapat petunjuk baharu itu.

Kumar menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa ahli keluarga mangsa telah menarik semula laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Iklan

"Tiada laporan polis yang ditarik, kes ini sedang disiasat dan proses siasatan berjalan seperti biasa," ujarnya.

Jelasnya, siasatan awal juga mendapati suspek bertindak seorang diri dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk kanak-kanak berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan semula kerana laporan perubatan dibuat sebelum ini mengesahkan kanak-kanak berkenaan selamat dan tidak diapa-apakan.

"Pemeriksaan kesihatan menyeluruh telah dibuat sebelum ini dan tiada kewajaran untuk diperiksa semula, bagaimanapun kanak-kanak itu sedikit trauma akibat kejadian berkenaan," jelasnya.

Pada Ahad, suspek berusia 31 tahun itu ditahan semula bagi membantu siasatan kes penculikan Jia Hui ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi libatkan kanak-kanak.

Suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam sehingga 10 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan juga Seksyen 292 Kanun Keseksaan.