SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Semangat integriti perlu diajar seawal di peringkat sekolah bagi memastikan generasi baharu yang bakal memasuki alam pekerjaan bebas daripada sebarang kelakuan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Guru Penolong Kanan Petang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Aniza Alwi berkata, perkara itu sangat penting bagi pelajar memahami kepentingan jati diri yang kuat terutama dalam melaksanakan tugas mereka.
"Program seperti Rasuah Busters laksanakan ini sangat bagus kerana ia menanamkan sifat integriti, jujur dan amanah dalam diri setiap pelajar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah di Dewan Anggerik SMK Seksyen 19 di sini pada Selasa.
Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad meneruskan inisiatif pendidikan antirasuah melalui program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah dengan melibatkan lima sekolah terpilih di Lembah Klang.
Program yang diadakan dari 31 Julai hingga 20 Ogos ini menyasarkan lebih 3,000 pelajar untuk meningkatkan kesedaran kepentingan integriti dan menolak rasuah.
Lima sekolah tersebut termasuk tiga di Shah Alam iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, SMK Seksyen 19 dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah selain SMK Taman Kosas, Ampang serta SMK Presint 9 (2), Putrajaya.
Tambah Aniza, program berkenaan juga mendorong kepada pembentukan peribadi yang berintegriti khususnya dalam kalangan pelajar terlibat dan ia perlu lagi dilaksanakan secara berkala serta melibatkan pelajar dalam skala besar.
"Perkongsian ilmu dan idea ini juga membantu untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai keburukan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan bagaimana ia merosakkan masyarakat dan negara kita amnya.
"Integriti merupakan asas yang kukuh dalam membina masyarakat yang adil, stabil dan berdaya saing seiring dengan cabaran serta godaan yang sering menguji kejujuran dan moraliti pada zaman ini," katanya.
Dalam pada itu, pelajar Tingkatan Dua SMK Seksyen 19, Nur Syaza Qashrina Ahmad Fizan berkata, program tersebut sangat baik dan berharap ia dapat diperluaskan ke semua peringkat sekolah kerana memberi impak positif terutama kesedaran bahaya rasuah.
Katanya, dengan pendedahan yang diberikan pasukan Rasuah Busters memberikan gambaran dekat apabila terlibat rasuah termasuk menipu dan mencuri serta salah guna kuasa dalam aktiviti seharian.
Sementara itu, Muhammad Adam Shahib Muhammad Hafiz yang juga pelajar Tingkatan Dua dari sekolah sama juga berharap supaya program demikian tidak berhenti setakat ini sahaja, sebaliknya diteruskan ke semua sekolah.
"Mungkin boleh tambah baik program ini dengan visual-visual penyampaian yang lebih dekat dengan situasi rasuah itu sendiri dan libatkan aktiviti pelajar untuk melakonkan watak supaya mereka lebih memahami rasuah yang merupakan satu jenayah," katanya.