KUALA TERENGGANU - Selain sinonim dengan gelaran ‘bekeng’ (garang) dan ‘nelang’ (berani), ketegasan yang ada pada diri Datuk Seri Ahmad Said menjadi antara sebab beliau diberi kepercayaan menggalas tugas Pengerusi Umno Terengganu.
Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, sebagai pembangkang di peringkat negeri dan pusat, perwatakan tegas Ahmad Said amat diperlukan bagi membawa hala tuju parti itu.
"Dalam keadaan bergelar pembangkang di peringkat negeri dan pusat, kita perlukan watak seperti beliau (Ahmad Said) untuk jadi ‘komandan’ bagi menghadapi PRU15.
"Kita perlukan pemimpin yang berani suarakan sesuatu bukan untuk mengejar populariti tetapi untuk betulkan sesuatu yang salah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pelantikan Ahmad Said mendapat sokongan padu dan selain sokongan di peringkat ketua bahagian, beliau juga menjadi harapan di peringkat akar umbi parti.
"Kelapan-lapan bahagian Umno Terengganu menyokong pelantikan beliau dan ini menunjukkan bahawa beliau ialah individu yang paling sesuai untuk jalankan tugas itu.
"Beliau juga menjadi harapan di peringkat akar umbi untuk ‘mengangkat’ kembali Umno kerana 2019 adalah tahun memperkasakan semula Umno. Saya yakin dengan pengalaman yang ada beliau lebih matang dalam berpolitik dan mengeluarkan kenyataan,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff, pelantikan Ahmad yang juga Adun Kijal akan membawa perubahan kepada Umno Terengganu.
"Mungkin tumpuan penuh tidak dapat diberikan ketika Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid memimpin Umno Terengganu sebelum ini.
"Dengan pelantikan beliau, saya percaya ia akan memulihkan keyakinan dan menyatupadukan ahli parti. Selain itu, gerak kerja Umno negeri juga akan berjalan lebih lancar,” katanya.
Apli berkata, ketegasan Ahmad Said amat diperlukan ekoran sensitiviti berkaitan kepentingan Melayu dan Islam sering disentuh, mutakhir ini.
"Kita yakin, dengan kredibiliti, ketegasan yang ada pada beliau, beliau akan lebih agresif ke hadapan dalam menyuarakan pandangan mengenai isu-isu itu malah mampu mengembalikan semula kepercayaan rakyat.
"Isu-isu menyentuh mengenai agama dan tanah air juga akan dibela,” katanya.
Jawatan nombor satu Umno Terengganu sebelum ini diambil alih Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid daripada Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 14 Julai lalu.
Bagaimanapun, Mahdzir mengesahkan akan melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada anak negeri kerana lebih memahami isu semasa negeri ini.