MELAKA - Seorang pemandu lori didakwa memukul dan mengugut untuk menyembelih isteri keduanya gara-gara mangsa memperlinya untuk membawa isteri pertama pergi bercuti, dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Lelaki berusia 58 tahun itu bagaimanapun telah ditahan polis di rumahnya di Bukit Katil di sini sehari selepas mangsa yang berusia 49 tahun membuat laporan polis.
Sumber berkata, kemarahan suspek tercetus selepas dikatakan diperli mangsa mengenai perancangannya untuk membawa isteri pertama bercuti ke Cameron Highlands pada minggu depan.
Menurutnya, suspek telah memarahi mangsa untuk menjaga anak lelaki mereka berusia lapan tahun kerana mahu membawa keluarga isteri pertama pergi bercuti.
"Namun suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa sebelum dia mencapai sebilah parang dan meletakkannya leher mangsa.
"Mangsa turut memberitahu suspek telah menarik rambutnya dan mengheretnya masuk ke dalam bilik sebelum mencampakkannya ke atas katil," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Ujarnya, suspek kemudian dipercayai mengugut untuk menyembelih leher mangsa dan insiden itu turut disaksikan anak lelakinya itu.
Katanya, mangsa berjaya melarikan diri dan terus membuat laporan polis sebelum suspek ditangkap pada jam 4 petang hari sama laporan polis diterima.
"Wanita terbabit juga telah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut akibat serangan individu," katanya lagi.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kes itu dan berkata suspek telah ditangkap.
"Suspek ditahan di Bukit Katil kira-kira 4 petang Ahad lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah," katanya.