Pestabola Merdeka: FAM guna pengadil luar elak dilabel 'syok sendiri'

Iklan
Firdaus (kanan) ketima sidang media majlis undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM pada Selasa. Foto FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan pendekatan menggunakan khidmat pengadil dari luar negara bagi mengadili perlawanan Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tempatan Pestabola Merdeka 2024, Mohd Firdaus Mohamed berkata, langkah itu bagi menunjukkan ketelusan penganjur dalam usaha mengangkat martabat pertandingan berprestij di Asia berkenaan yang memasuki edisi ke-43, tahun ini.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata, pengadil yang bakal dilantik itu adalah dalam kalangan pengadil bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Kita tak mahu dilihat sebagai menganjurkan pertandingan lebih kepada syok sendiri jadi kita panggil pengadil dari luar untuk tunjuk ketelusan kita apabila kita menganjurkan pertandingan, sebab pertandingan ini di bawah Kalendar FIFA, jadi kita tak boleh ambil mudah dalam hal ini.

Iklan

"Kita dah kenal pasti beberapa pengadil di peringkat Asia tapi tak boleh maklumkan lagi sebab dalam proses perbincangan...diyakini pengadil bertaraf FIFA yang ada pengalaman mengendalikan perlawanan di peringkat FIFA,” katanya pada sidang media majlis undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM pada Selasa.

Pada masa sama, beliau berkata, penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada Pestabola Merdeka 2024 masih dalam peringkat perbincangan, selain memaklumkan tahap permukaan padang Stadium Nasional terkini ‘lulus’ untuk digunakan pada pertandingan itu.

Iklan

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, FAM sedang memikirkan cara untuk terus memperkasakan lagi pertandingan itu sehingga mampu menghimpunkan pesaing dalam kalangan negara-negara kelompok 100 terbaik dunia.

"Sebab saya nak lihat prestij Pestabola Merdeka, biarlah kita lawan dengan pasukan kuat pun, pada saya menang kalah soal kedua, tetapi macam mana kita nak jadikan Pestabola Merdeka satu pertandingan yang lebih berprestij,” katanya.

Terdahulu, majlis undian Pestabola Merdeka 2024 menyaksikan Malaysia diundi bertemu Filipina pada perlawanan separuh akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional pada 9 malam, 4 Sept ini.

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan juara bertahan Tajikistan dan Lubnan juga pada 4 Sept di venue sama.

Aksi menentang Filipina merupakan tugasan pertama jurulatih dari Sepanyol Pau Marti Vicente selepas dilantik sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya susulan peletakan jawatan mengejut bekas pengendali Kim Pan Gon, bulan lepas.

Pada Pestabola Merdeka 2023, Malaysia yang menewaskan India di separuh akhir, muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di final. - Bernama