KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menjemput bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk turun ke Nenggiri bagi melihat sendiri 'mood' pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum memberikan komen Barisan Nasional (BN) akan menang.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, komen yang diberikan itu tanpa melihat situasi sebenar di Nenggiri ketika ini.
"Semolek-moleknya dia (KJ) turun boleh dua tiga hari ke Nenggiri dan jelajah ke pelosok kawasan termasuk penempatan Orang Asli.
"Selepas itu buatlah komen," katanya ketika diminta mengulas kenyataan KJ yang mendakwa calon BN akan menang pada PRK Nenggiri pada Selasa.
Terdahulu, KJ menerusi Podcast kendaliannya iaitu 'Keluar Sekejap' mengatakan calon UMNO akan menang pada PRK Nenggiri berpandukan kepada beberapa faktor termasuk aura Tengku Razaleigh Hamzah.
Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, ketika ini Perikatan Nasional (PN) sedang bekerja keras untuk meningkatkan majoriti pada PRK Nenggiri.
Ujarnya, melihat kepada 'mood' pengundi, PN yakin kerusi tersebut berjaya di kekalkan.
Sebelum itu, pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.