Tingkatkan fasiliti keselamatan lebih canggih di sempadan

Iklan
Foto hiasan

ALOR SETAR - Kerajaan disaran meneroka penggunaan teknologi baharu serta inovasi terkini dalam meningkatkan keselamatan sempadan negara sejajar dengan perkembangan teknologi dalam penugasan agensi keselamatan kawalan sempadan negara.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, sudah tiba masanya negara meningkatkan fasiliti keselamatan lebih canggih di kawasan sempadan termasuk kawalan pengurusan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Iklan
Iklan
Mohd Zayad

Menurutnya, agensi penguatkuasaan sempadan perlu dipertingkatkan dan dilengkapi teknologi terkini seperti digunakan negara-negara maju.

"Peruntukan tambahan RM100 juta untuk meningkatkan keselamatan sempadan di Perlis, Kedah dan Kelantan merupakan suatu keperluan masa kini kerana krisis keselamatan sempadan boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara, rakyat dan ekonomi.

Iklan

"Penggunaan teknologi terkini sangat penting dalam meningkatkan kawalan keselamatan sempadan memandangkan penugasan kawalan semakin kompleks dan dinamik,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mohd Zayad berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga wajar dipertimbangkan.

Iklan

"Penggunaan berasaskan teknologi AI dapat melakukan pengesahan objek secara efektif, selain mengelakkan penggera palsu.

"Pendekatan teknologi seperti dron mengawal sempadan darat juga wajar kerana operasi dapat dijalankan tanpa pengawasan manual. Proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dan pengawasan berterusan akan dapat mengoptimumkan kawalan sempadan secara lebih cekap,” katanya.

Menurutnya, langkah strategik menggunakan teknologi terkini dalam pengurusan sempadan menggambarkan negara kita selari dengan perkembangan dunia selain memberi keyakinan kepada negara luar.

"Selain memperkukuhkan aspek keselamatan, dana tersebut juga membolehkan urusan perdagangan antara Malaysia dan Thailand lebih lancar.

"Inisiatif tersebut juga diyakini dapat menangani pelbagai isu jenayah selain membantu pembangunan kawasan sempadan seterusnya merancakkan ekonomi di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand,” katanya.

Mohd Zayad berkata, bagi memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan sempadan dan mengimbangi kekurangan sumber manusia, kerajaan disyorkan membaik pulih pagar-pagar sedia ada yang telah rosak.

"Bina pagar atau tembok sempadan baharu di kawasan terdedah, tambahkan bilangan CCTV di lokasi strategik sepanjang sempadan kerana ia membantu anggota penguat kuasa sempadan selaku barisan hadapan.

"Namun pastikan pagar atau tembok tersebut mempunyai pengawasan ketat selain berupaya mengekang aktiviti penyeludupan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kewujudan pangkalan haram terutama di negeri sempadan Thailand yang mengancam keselamatan negara juga perlu diberi perhatian.

"Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu bersama melupuskan dahulu pangkalan haram sebagai usaha awal mengawal pintu sempadan.

"Perbincangan lebih kukuh antara kerajaan Malaysia dan Thailand dalam menjayakan pelaksanaan operasi 24 jam di pintu sempadan perlu dilakukan kerana ia mampu merancakkan aktiviti perdagangan serta menyumbang kepada perkembangan industri logistik di negeri-negeri sempadan Thailand,” ujarnya.

Mohd Zayad berkata, sempadan mencerminkan kedaulatan sesebuah negara, sekiranya diceroboh boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

"Aspek keselamatan negara harus merangkumi dua elemen utama, iaitu keselamatan sempadan dan kawalan sempadan.

"Kelemahan kawalan pengurusan sempadan bukan sahaja melibatkan keselamatan negara tetapi turut menyebabkan kehilangan pendapatan negara jutaan ringgit menerusi aktiviti penyeludupan,” katanya.

Pada 30 Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk penambahbaikan fasiliti keselamatan di sempadan Kelantan, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, isu berkaitan keselamatan sempadan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung dan Selatan Thailand turut dibincangkan bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.