Versi pertama garis panduan tatalaku media sosial kuat kuasa 1 Januari

Iklan
Fahmi Fadzil ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Ogos 2024 di Kementeriannya pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Garis panduan tatalaku bagi platform media sosial versi pertama akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Justeru, beliau berkata, satu sesi libat urus akan mula diadakan dalam masa terdekat dengan semua pemegang taruh platform media sosial bagi merangka garis panduan tatalaku itu bagi memperinci keperluan etika dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Iklan
Iklan

"Mereka ada beberapa pandangan yang ingin disampaikan dan kita sudah maklumkan bahawa akan ada satu proses libat urus dengan semua pemegang taruh.

"Hasil dapatan daripada sesi libat urus ini akan diambil kira dan kita dapat rangka garis panduan tatalaku,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini pada Selasa.

Iklan

Fahmi berkata, garis panduan itu perlu jelas kepada pihak platform media sosial dan jika melanggarnya, mereka akan didenda.

Sebelum ini, beliau berkata, jika didapati bersalah penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara bagi tempoh lima tahun atau kedua-duanya.

Iklan

Ditanya bila garis panduan itu akan siap sepenuhnya, Fahmi berkata, proses tersebut dijangka mengambil masa untuk diselesaikan.

"Proses itu terbuka dan kita ambil maklum bagi platform media sosial tersebut. Garis panduan mereka juga adalah apa yang disebut dokumen hidup," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Fahmi menyarankan organisasi media agar memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mempercepat penyediaan laporan berita.

Beliau berkata ketika ini, banyak hasil AI terutama AI Generatif (GenAI) dapat disiarkan dalam format audio visual.

Justeru itu, Fahmi berharap kemajuan AI dapat dimanfaatkan untuk persembahan serta acara bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Hari Malaysia pada 16 Sept di Sabah. - Bernama