114 pengamal media peroleh manfaat Tabung Kasih@Hawana

Iklan
Fahmi Fadzil (kiri) ketika sidang media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Ogos 2024 di Kementeriannya pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 114 petugas media yang berdepan masalah dan memerlukan bantuan telah menerima manfaat sumbangan Tabung Kasih@HAWANA setakat 30 Julai lepas, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), selaku pihak yang bertanggungjawab menguruskan tabung itu, telah diminta bekerjasama dengan kelab media di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat berhubung pengamal media yang perlu dibantu.

Iklan
Iklan

"Saya juga telah minta pihak Bernama supaya berbincang dan mendapatkan maklumat daripada gabungan kelab-kelab media di Malaysia untuk kita bantu lebih ramai rakan media yang memerlukan bantuan," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin.

Iklan

Fahmi berkata, kerajaan juga komited dalam hal menjaga kebajikan pengamal media termasuk petugas sambilan iaitu stringers dan yang berstatus piecemeal.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi melalui Bernama telah memulakan inisiatif yang akan memberikan manfaat kepada 493 pengamal media sambilan di seluruh negara menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk mendapatkan perkhidmatan dan perlindungan.

Iklan

Pada 27 Mei lepas, semasa Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi akan menampung caruman Perkeso untuk pemberita sambilan yang berdaftar dengan pelbagai organisasi media di seluruh negara. - Bernama