DHAKA - Hampir 25 orang terbunuh dan lebih 150 dimasukkan ke hospital selepas penunjuk perasaan membakar sebuah hotel di barat daya Bangladesh, lapor Sputnik pada Selasa, memetik media tempatan.
Angka kematian akibat kebakaran di Hotel Antarabangsa Zabeer di bandar Jashore mencecah 25 orang, lapor The Daily Star, memetik Abdul Kadir, seorang pegawai Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam Bangladesh, yang juga berkata bahawa penunjuk perasaan membakar hotel itu sekitar 1005 GMT pada Isnin. Api dipadamkan pada 2345 GMT, tambahnya.
Iklan
Iklan
Kemudian pada hari itu, akhbar Dhaka Tribune melaporkan bahawa lebih 150 orang telah dimasukkan ke hospital tempatan berikutan kebakaran itu.
Protes dan demonstrasi bermula di Dhaka dan di seluruh negara selepas pengumuman"tindakan tidak bekerjasama" selama beberapa hari dengan pihak berkuasa, yang dilancarkan pada Ahad oleh Gerakan Pelajar Antidiskriminasi. Pertembungan antara pelajar antikerajaan, polis dan penyokong kerajaan meningkat menjadi rusuhan.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di Dhaka dan bandar lain di negara itu mulai 1800 waktu tempatan pada Isnin (tengah hari GMT) sehingga diberitahu kelak. Isnin, Selasa dan Rabu minggu ini telah diisytiharkan sebagai cuti umum. - Bernama