SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencadangkan dua keutamaan pencapaian ekonomi (PED) sebagai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, ia bertujuan untuk mencapai pembangunan dalam sektor pertanian dan perhutanan yang lebih mampan selain mempertingkat serta mengukuhkan keselamatan makanan di rantau ASEAN.
Menurutnya, cadangan PED tahun depan adalah tepat pada masanya dan mencerminkan cabaran semasa yang dihadapi oleh ASEAN.
"PED dicadangkan ialah sejajar dengan tema"Growing Together: Advancing ASEAN Agriculture and Foresty Sustainable Development” yang menfokuskan dua bidang utama iaitu pertama pembangunan Pelan Tindakan Keselamatan Makanan (2026-2030), kesinambungan daripada Pelan Tindakan semasa Keselamatan Makanan (2021-2025).
"Yang kedua adalah menyentuh pembangunan pertanian dan perhutanan ASEAN yang akan melibatkan senario semasa serta memberikan pandangan tentang masa depan makanan, sektor pertanian dan perhutanan," ujarnya.
Terdahulu, Mesyuarat Pegawai Kanan Khas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan Ke-45 (SOM-45th AMAF) ke-45 berlangsung pada hari ini di Hotel DoubleTree by Hilton, Johor Bahru, Malaysia.
Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Tambah kenyataan itu, Malaysia berharap kerjasama antara negara ASEAN dapat menangani kesan buruk perubahan iklim dan peningkatan isu keselamatan makanan.
"Selain itu, SOM-AMAF akan bertemu dengan Rakan Dialog ASEAN iaitu negara ASEAN Campur Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan), India, Rusia serta lain-lain organisasi antarabangsa.
"Mereka juga akan berjumpa dengan pihak ketiga seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-ASEAN," katanya.