Dakwaan ugut pengundi: Pemuda UMNO Gua Musang buat laporan polis

Iklan
Muhammad Zaidi (depan, tiga kiri) bersama ahli Pemuda UMNO Gua Musang menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Gua Musang pada Selasa.

GUA MUSANG - Seramai 30 ahli Pemuda UMNO Gua Musang membuat laporan polis berhubung tindakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa mengugut pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang kira-kira jam 3 petang Selasa.

Iklan
Iklan

Wakilnya, Muhamad Zaidi Zakir Saari mendakwa, kenyataan Takiyuddin bahawa pengundi akan menghadapi masalah jika memilih calon bukan dari kerajaan negeri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini adalah satu bentuk ugutan.

"Saya terkejut mendengar ceramah Takiyuddin yang mendakwa kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa mengenai tanah dan kalau pilih wakil rakyat bukan daripada calon kerajaan negeri maka pengundi akan menghadapi masalah.

Iklan
Muhamad Zaidi

"Penyataan yang dibuat beliau merupakan suatu ancaman kepada pengundi DUN Nenggiri yang sedang memerlukan pemilikan tanah," katanya pada sidang akhbar sejurus laporan polis itu dibuat.

Muhamad Zaidi, 29, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang mendakwa, Takiyuddin turut membuat kenyataan fitnah bahawa Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) tidak memproses permohanan tanah untuk diberi kepada rakyat.

Iklan

Dakwanya, Takiyuddin melemparkan dakwaan tersebut dalam satu video bertajuk 'Live Ceramah Umum PRK Nenggiri Unit Daerah Mengundi (UDM) Bertam Baru - 3 Ogos 2024' di Youtube.

"Saya lihat video ini pada Isnin kira-kira jam 9 malam ketika sedang berada di rumah saya di Felda Perasu.

"Jadi laporan polis ini dibuat supaya individu yang mengeluarkan kenyataan dalam video berkenaan disiasat kerana perbuatannya menyalahi undang-undang terutamanya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Zulhazmi Hassan meminta pengundi Nenggiri tidak takut dengan ancaman berkenaan.

Mohd Zulhazmi

"Kalau membuat tuntutan mengikut undang-undang dan sekiranya permohonan itu tidak dilayan atau tidak diluluskan kerana politik, kita akan buat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita negeri dan negara yang ada undang-undang. Jangan takut. Kepada pengundi saya menyeru agar keluar mengundi dan jangan termakan atau takut dengan apa-apa ugutan," ujarnya.

PRK DUN Nenggiri yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara PN, Mohd Rizwadi Ismail dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi memakai logo Pas.