KUALA LUMPUR - Kepengerusian ASEAN pada 2025 akan menyediakan peluang kepada Malaysia untuk meneraju rantau ini menjadi lebih bersepadu dan berdaya tahan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) akan berfungsi sebagai pemangkin, meletakkan ASEAN sebagai pemain penting dalam landskap ekonomi global.
"PED berpaksikan kepada empat teras utama: meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota ASEAN, menyepadukan dan menghubungkan ekonomi, memupuk masa depan yang inklusif dan mampan, dan bersedia untuk masa depan digital.
"Penduduk kita (ASEAN) muda dan dinamik. Ekonomi kita juga sangat kukuh dan pelbagai, menjadikan ASEAN sebagai kuasa inovasi dan pembangunan.
"Vision 2045: Age of ASEAN adalah mengenai memanfaatkan peluang dengan memperkenalkan keberkecualian, pemusatan serta identiti kolektif kita untuk mencapai pertumbuhan mampan bagi masa depan ASEAN yang makmur serta inklusif,” kata beliau dalam ucapan penutupnya di persidangan ‘Vision 2045: Age of ASEAN’ pada Selasa.
Persidangan itu, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, dan Boston Consulting Group, bertujuan menyediakan platform kepada pemimpin korporat untuk berhubung, bertukar-tukar perspektif,dan meneroka peluang strategik dalam ASEAN.
Tengku Zafrul berkata, rantaian nilai serantau perlu dipertingkatkan bagi memastikan perdagangan memberi manfaat kepada semua negara anggota.
Mengenai perubahan iklim, beliau menekankan keperluan untuk peralihan hijau yang saksama di seluruh ASEAN memandangkan setiap negara anggota berada pada tahap pembangunan ekonomi yang berbeza.
"Kita perlu memastikan pertumbuhan kita inklusif serta mampan, dan kita perlu mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau,” katanya. - Bernama