KAMPAR - Penantian tiga beradik dari Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar di sini yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan, berakhir apabila mereka menerima sijil kelahiran masing-masing hari ini.
Mohamad Harudin Hariandi, 22, Nur Ashikin Hariandi, 21, dan Mohamad Haikal Hariandi, 9, tidak didaftarkan kelahiran oleh bapa mereka Hariandi Dimun, 40, yang buta huruf.
Hariandi berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak serta Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah yang banyak membantu dalam memastikan ketiga-tiga anaknya itu mempunyai sijil kelahiran.
"Kami pernah beberapa kali juga mencuba untuk daftarkan sijil kelahiran ketiga-tiga anak namun masalah buta huruf yang saya alami menyebabkan usaha itu terhenti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebing Tinggi di sini pada Selasa.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi menyerahkan sijil kelahiran berkenaan kepada tiga beradik terbabit.
Pada 3 Julai tahun lepas, Mohd Azlan telah melawat keluarga berkenaan di rumah mereka dan mendapati ketiga-tiga anak Hariandi tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal ekoran ketiadaan sijil kelahiran.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, dengan adanya sijil kelahiran tersebut membolehkan dia membuat permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan bagi urusan perkahwinan yang dijangka dilangsungkan hujung tahun ini.
Anak kedua dari empat beradik itu berkata, urusan untuk mendapatkan kad pengenalan itu akan dilakukan minggu ini bersama dua adik-beradik yang lain.
"Memang sangat bersyukur kerana sebelum ini banyak urusan berkenaan dokumen yang perlu diisi untuk mendaftarkan perkahwinan tertangguh disebabkan ketiadaan sijil lahir dan kad pengenalan.
"Selain itu, disebabkan tiada dokumen pengenalan diri ini juga menyukarkan saya untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan menjamin masa depan,” katanya yang kini bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Sementara itu, Mohd Azlan yang juga ADUN Tualang Sekah berkata, selain pemberian sijil kelahiran, keluarga berkenaan akan mendapat bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak.
"Usaha yang digerakkan itu membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa prihatin dan tidak pernah meminggirkan hak atau kepentingan mana-mana golongan masyarakat.
"Selain itu, saya juga ingin menasihatkan masyarakat di luar sana supaya sentiasa cakna dan tidak memandang mudah setiap perkara yang membabitkan dokumen pengenalan diri dan sekiranya mempunyai masalah, sila berhubung terus dengan JPN Perak,” katanya. - Bernama