Warga asing di Malaysia makin berani suap anggota penguat kuasa

Iklan
Rasuah tidak boleh dinormalisasikan dalam perkhidmatan dan tugasan. Foto hiasan (Gambar kecil: Zairudin)

SHAH ALAM - Kebiasaan rakyat tempatan yang mengamalkan budaya memberi duit kopi dalam sebarang urusan menyebabkan ia menjadi perkara normal sehingga warga asing kini turut berani untuk melakukan jenayah tersebut.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, keadaan itu terjadi kerana perbuatan itu dianggap sebagai amalan biasa dan sikap individu yang tidak mampu menahan diri daripada melakukan pecah amanah atau memalsukan tuntutan.

Iklan
Iklan

"Bukan soal berapa banyak atau sedikit jumlah suapan yang ditawarkan kerana akhirnya rasuah dan salah guna kuasa adalah tergolong dalam perkara dilaknat ALLAH SWT.

"Ini melibatkan soal sikap. Meskipun sudah tahu akibatnya, masih ada yang terlibat kerana kegagalan mengawal nafsu dan menjauhi ruang punca berlakunya salah guna kuasa itu hingga menyebabkan jenayah berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengusaha premis barangan lusuh warga asing cuba merasuah seorang pegawai polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun tersebut ditahan anggota penguat kuasa SPRM pada jam 3.50 pagi atas dakwaan cuba memberi wang suapan RM250 kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor.

Iklan

Dalam pada itu, Zairudin berkata, tindakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpegang teguh dengan jati diri dan prinsip anti rasuah perlu dicontohi.

Ujarnya, isu tatakelakuan boleh dibendung sekiranya seseorang itu menjauhi sikap tamak dan haloba, selain menjarakkan diri daripada ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah.

"Rasuah tidak boleh dinormalisasikan dalam perkhidmatan dan tugasan. Istilah seperti duit kopi, wang tepi, duit bawah meja, tumbuk rusuk dan lain-lain tidak sepatutnya menjadi perkara normal dalam sistem perkhidmatan kita,” tegasnya.