Transformasi struktur PBB sekat kegilaan Israel

Iklan
Majlis Keselamatan PBB harus bertindak untuk memastikan serangan terhadap Palestin dihentikan. Gambar kecil: Collins

SHAH ALAM - Transformasi struktur dan sistemik di peringkat komuniti global serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dilakukan bagi menghentikan kegilaan rejim Zionis di Palestin.

Penganalisis Strategi dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat berkata, perubahan itu perlu dilakukan memandangkan rentetan langkah yang telah dimulakan di peringkat antarabangsa sebelum ini tidak banyak membantu untuk menghentikan serangan terhadap Palestin.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, pembaharuan itu mesti dibuat badan pembuat keputusan tertinggi PBB dan Majlis Keselamatan, di mana suara majoriti perlu mengambil berat tentang kemasukan dan pengiktirafan rasmi negara baharu dan negara anggota PBB, bukannya Majlis Keselamatan.

"Majlis Keselamatan PBB harus bertindak untuk memastikan pencerobohan itu dihentikan.

Iklan

"Kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB yang telah menghentikan pengiktirafan rasmi Palestin telah menjadi kegagalan besar dan ketidakadilan.

"Majoriti ahli PBB dengan lebih daripada 140 ahli dan 75 peratus daripada semua anggota PBB kini secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdaulat dan merdeka, termasuk Sepanyol dan Norway serta lain-lain yang berpotensi mengikutinya.

Iklan

"Peruntukan khas harus disediakan dalam membenarkan undian atau resolusi Perhimpunan Agung PBB untuk kes ini, atau dalam melumpuhkan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan untuk kelulusan keahlian baharu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah yang perlu dibuat bagi menghalang Israel terus melakukan jenayah perang walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai telah memutuskan pendudukan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur menyalahi undang-undang.

Jelasnya, apa yang lebih penting ialah ICJ dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mempunyai ketetapan yang mengikat dan mewujudkan lebih pencegahan dengan keputusan yang betul.

Selain itu, perundangan dan penguatkuasaan yang lebih berat dalam memastikan rejim Zionis bertanggungjawab di atas kekejaman perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta norma lain termasuk Konvensyen Geneva.

"Saya juga melihat pentingnya kempen pengasingan dan tekanan antarabangsa harus dikekalkan untuk menghentikan serta-merta sebarang pencerobohan dan sebagai perlindungan awam.

"Peranan dan sinergi yang lebih mendalam dalam kalangan kuasa serantau dan pengantara utama juga amat penting dalam menghentikan pencerobohan ini.

"Organisasi antarabangsa dan serantau terutamanya Liga Arab, OIC, OPEC, ASEAN, AU, SCO dan BRICS boleh menggunakan kelebihan utama kekuatan geopolitik termasuk minyak, gas dan meningkatkan diplomasi pencegahan,” ujar beliau.

Tambah Collins, Amerika Syarikat dan kuasa Barat Eropah boleh menggunakan pengaruh mereka untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis dengan penggunaan sekatan dan seumpamanya.