CERITA orang melabur dalam skim ponzi dan kemudian ‘gigit jari’ setelah wang pelaburan lesap bukan perkara baharu.
Sejak bertahun-tahun Merak Jalanan sudah dengar bermacam-macam jenis skim pelaburan yang berakhir dengan episod air mata para pelabur.
Bukan sahaja pulangan dijanjikan sekadar tinggal janji, malah modal pokok mencecah ribuan ringgit hangus begitu sahaja.
Baru-baru ini, kecoh apabila sebuah syarikat pelaburan berstatus sendirian berhad diserbu Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kesalahan mengambil deposit secara haram.
Pelbagai barangan mewah dan 92 akaun bank membabitkan nilai lebih RM30 juta milik syarikat tersebut disita.
Merak Jalanan tertanya-tanya, sudah masuk zaman teknologi kecerdasan buatan (AI) pun, masih ramai yang percaya dengan skim pelaburan sebegitu.
Ada juga yang bersungguh-sungguh menyertai skim pelaburan yang berselindung di sebalik perniagaan multi level marketing (MLM).
Bila tauke sudah kenyang, kaut untung juta-juta ringgit, syarikat pun tutup.
Antara sebab ramai terpengaruh untuk menyertai skim pelaburan ini ialah keinginan mahu kaya cepat tanpa perlu kerja keras.
Dikuatkan lagi dengan ajakan rakan-rakan yang menayangkan ‘kemewahan’ dan ‘kesenangan’ kononnya sudah jadi jutawan selepas menyertai skim tersebut. Padahal masih tinggal di rumah sewa.
Cuma Merak Jalanan hairan, yang menjadi mangsa skim ini bukan calang-calang orang, ada yang berpelajaran tinggi sampai universiti.
Sebenarnya, tak susah nak tahu sama ada skim pelaburan itu sah atau menipu.
Kalau mereka janjikan dengan pulangan berlipat kali ganda, tak payahlah percaya.
Tidak akan ada orang senang-senang nak beri duit banyak-banyak begitu sahaja.
Tanya juga kepada diri sendiri, apabila sudah banyak kes-kes penipuan pelaburan didedahkan di media massa, adakah masih nak ‘bersangka baik’ dengan skim pelaburan sebegitu?