SACRAMENTO - Pengunjung di sebuah kelab golf terkemuka sememangnya bernasib baik sebuah pesawat kecil mendarat cemas di padang rumput di premis berkenaan pada akhir minggu lalu.
"Semua orang bernasib baik. Juruterbang terlibat juga terselamat meskipun berdepan detik cemas itu," kata jurucakap pasukan bomba Sacramento, Justin Sylvia.
Menurutnya, anggota bomba menerima laporan dari Haggin Oaks Golf Complex di California Utara, Amerika Syarikat (AS) pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan).
"Kami bergegas ke lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati pesawat itu berlepas dari pangkalan udara McClellan yang terletak berhampiran kawasan itu sebelum ia mengalami kegagalan mekanikal dan enjin pada ketinggian kira-kira 122 meter di udara.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut terkejut.
"Kami terdengar bunyi letupan kuat, namun tidak tahu apa puncanya," kata pemain golf yang sering berkunjung ke Haggin Oaks, Tim Cowan.
Sementara itu, seorang kakitangan, Charlie Lewis berkata, dia sedang mengutip bola golf ketika pesawat itu berada di atas kepalanya.
"Saya benar-benar terpaku. Ia seperti tidak masuk akal," ujarnya.
Susulan insiden itu, pihak berkuasa telah melancarkan siasatan dan Sylvia turut memuji kecekapan juruterbang menangani situasi cemas tersebut kerana ia berisiko menjadi lebih buruk. - Agensi