Aniq tenang debut di Paris

Iklan
Aniq akan beraksi dalam kategori 61kg Sukan Olimpik di Expo Porte de, Versailles, Paris. Foto Agensi.

PRESIDEN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengakui badang negara, Mohamad Aniq Kasdan berada dalam keadaan tenang untuk tampil buat kali pertama di Sukan Olimpik 2024 pada Rabu.

Malah beliau mendedahkan tiada sebarang tekanan buat atlet berusia 22 tahun itu untuk beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) di Paris.

Iklan
Iklan

Beliau menambah, Aniq juga dilihat cukup bersemangat untuk melakar kejutan bagi memburu podium dalam saingan tersebut.

"Ini adalah kali pertama Aniq layak ke Olimpik, sudah tentu dia menggalas tanggungjawab besar dan merasai tekanan untuk membuktikan angkat berat ini mampu membawa nama Malaysia di pentas dunia.

Iklan

"Namun, saya selalu ingatkan dia jangan anggap cabaran dan tekanan itu membebankan dirinya. Kita sudah berusaha dan sudah berada di peringkat tertinggi.

"Buat seperti biasa dan tunjukkan bahawa kita boleh lakukan sesuatu yang luar biasa," katanya.

Iklan

Saingan angkat berat akan berlangsung di Paris Expo Porte de Versailles.

Aniq perlu sekurang-kurangnya melakukan angkatan keseluruhan 302kg hingga 305kg untuk berpeluang memenangi pingat di Paris.

"Saya juga pesan kepada Aniq, jangan anggap kita ada peluang lagi untuk Olimpik akan datang.

Ayub. Foto Agensi

"Kita kena ingat ini adalah penyertaan kita yang terakhir, jadi apabila penyertaan terakhir maka mahu atau tidak, kita akan buat yang terbaik," ujar Ayub.

Rekod peribadi terbaik Aniq adalah 296kg yang juga rekod kebangsaan dalam kategori 61kg.

Pada Olimpik Tokyo 2020, pingat emas kategori 61kg dimenangi atlet China, Li Fabin dengan angkatan keseluruhan 313kg yang juga rekod baharu temasya, manakala Eko Yuli Irawan dari Indonesia meraih perak (302kg) dan Igor Son dari Kazakhstan gangsa (294kg).

Fabin yang juga pemegang rekod dunia dan Yuli Irawan turut akan bersaing di Paris dan diletakkan sebagai pilihan untuk sekali lagi meraih podium.

Turut menjadi pencabar podium ialah atlet Amerika Syarikat (AS), Hampton Morris dan Theerapong Silachai dari Thailand.