Pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus ketuai kerajaan peralihan Bangladesh

Iklan
Muhammad Yunus. Foto AFP

DHAKA - Pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh, Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan peralihan negara itu susulan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan rasmi pada petang Selasa.

Keputusan yang disahkan oleh setiausaha akhbar presiden, Joynal Abedin dicapai dalam satu mesyuarat yang melibatkan Presiden Mohammad Shahabuddin, ketua angkatan tentera dan pemimpin Gerakan Pelajar Antidiskriminasi Bangladesh.

Iklan
Iklan

Pada petang Selasa, 13 penyelaras gerakan itu melawat kediaman rasmi presiden untuk membincangkan situasi dan rangka kerja kerajaan sementara dengan Shahabuddin.

Kemudian, ketua angkatan tentera darat, laut dan udara turut serta.

Iklan

Keputusan untuk membentuk kerajaan sementara dibuat selepas perbincangan antara Shahabuddin, penyelaras dan pemimpin tentera.

Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melarikan diri ke negara jiran, India pada Isnin. Kabinet dibubarkan sejurus selepas itu.

Iklan

Berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara.

Pada Selasa, Shahabuddin turut membubarkan Parlimen negara itu. - Bernama-Anadolu