IPOH - Nyawa seorang wanita warga emas melayang gara-gara anjing liar yang sering mengganggu pengguna jalan raya di Jalan Pusat Perniagaan Silibin 1 dekat Silibin pada Isnin.
Lebih menyedihkan, kejadian sekitar jam 7.15 pagi itu berlaku ketika mangsa, Rohani Nek, 69, dalam perjalanan pulang selepas menghantar cucunya, Adam Mikeil Shaizul Nizam, 11, di Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin.
Menurut Nur Farah Allysha Shaizul Nizam, 18, menjadi rutin neneknya menunggang motosikal menghantar adiknya itu ke sekolah yang terletak kira-kira 1.7 kilometer dari rumah.
"Laluan berkenaan berhampiran dengan kawasan industri jadi memang banyak anjing liar sering mengejar penunggang motosikal.
"Pada hari kejadian lima ekor anjing kejar motosikal nenek semasa hantar Adam. Tidak sangka bila hendak pulang, nenek kemalangan kerana cuba elak anjing liar melintas," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Jalan Budiman, Kampung Tengku Hussin Baru, Manjoi di sini pada Selasa.
Nur Farah Allysha berkata, neneknya sering menyatakan rasa takut dikejar anjing liar tetapi dia tiada pilihan kerana itu merupakan laluan utama pengguna jalan raya.
"Kami masih bersedih dengan pemergian ayah Mac lalu akibat kemalangan jalan raya. Nenek baru-baru ini kerap sangat nyatakan rasa rindu kepada ayah, mimpikan ayah, tidak sangka itu petanda nenek akan menyusul
"Adam paling terkesan kerana dia paling rapat dengan nenek yang menjaganya sejak kecil. Dia masih trauma hinggakan tidak sanggup jejak rumah kerana banyak kenangan bersama nenek," katanya.
Bagi Shazrin Mohd Mokhtar, 48, dia meminta pihak kuasa tempatan (PBT) mengambil iktibar dengan insiden yang menimpa ibunya itu agar penguatkuasaan penuh dapat dijalankan.
Menurut pekerja swasta itu, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat seekor anjing melintas jalan semasa ibunya melalui lokasi kejadian.
"Dalam rakaman CCTV itu juga, banyak anjing liar dan ada yang mengejar penunggang motosikal lain. Terkejut juga dengan situasi itu tambahan waktu pagi, orang ramai berpusu-pusu masuk kerja.
"Apa yang membimbangkan saya ia berhampiran dengan kawasan sekolah, kita tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini menimpa kepada pelajar pula," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis meminta saksi kejadian untuk tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 bagi membantu siasatan," katanya.