Pekerja hotel maut nahas motosikal, kereta

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit nahas melibatkan dua kenderaan di persimpangan Jalan Tali Air 1, Jalan Permatang Badak pada Selasa. - Foto: Polis Trafik Kuantan

KUANTAN - Seorang pekerja hotel maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di persimpangan Jalan Tali Air 1, Jalan Permatang Badak dekat sini pada Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Hazrie Che Haron, 28, beralamat dari Kampung Chendering, Pandan Dua disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, seorang wanita berusia 22 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Bezza dipandu jurujual wanita itu dalam perjalanan dari arah Jalan Kuantan-Maran menghala ke Permatang Badak.

Iklan

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai membelok untuk masuk ke simpang kanan.

"Pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah bertentangan gagal mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan kereta terbabit," katanya.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

"Kemalangan maut meragut satu nyawa itu masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.