SEREMBAN - Sebuah premis yang menjalankan perniagaan barang lusuh di Rantau di sini diserbu pihak berkuasa dalam Op Toksik pada Selasa, selepas disyaki melanggar tatacara pengendalian piawai (SOP) ditetapkan.
Serbuan menerusi operasi bersepadu melibatkan agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu dilakukan bermula jam 10.10 pagi.
Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dalam satu kenyataan berkata, premis itu dipercayai menjalankan kegiatan pembakaran terbuka, pembelian dan peleraian barangan terjadual serta barang lusuh yang tidak mematuhi SOP.
"Hasil pemeriksaan mendapat premis mempunyai kelulusan bagi perniagaan barang lusuh. Terdapat lapan pekerja warga asing di kawasan premis.
"Semakan lanjut mendapati dua lelaki warga India telah tinggal melebihi masa dan seorang lelaki Bangladesh tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.
Ujar kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang diambil ke atas pemilik premis tersebut membabitkan enam kesalahan antaranya di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara (melanggar syarat nyata tanah pertanian bagi kegunaan industri), Seksyen 15(c), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pembakaran Terbuka).
"Agensi penguatkuasaan yang terlibat telah mengeluarkan notis kompaun dan menjalankan tangkapan terhadap tiga warga asing yang menyalahi kesalahan imigresen.
"Premis berkenaan didaftarkan pada 2011 dan telah beroperasi sejak tahun 2002. Kegiatan pembakaran terbuka ini dikesan sejak tahun 2024 dan mendapat rungutan masyarakat setempat.
"Kedudukan premis yang berhampiran dengan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang, Seremban dan taman perumahan boleh menyebabkan pencemaran udara serta mengganggu penduduk," katanya.
Menurutnya, kegiatan premis itu yang menghasilkan buangan terjadual tanpa mematuhi prosedur berpotensi mendatangkan kesan kesihatan kepada manusia dan alam sekitar.
"Pelupusan bateri dan sisa plastik yang tidak terkawal akan memberi kesan terutama air yang turun ke longkang akan mengalir ke Sungai Simin berhampiran sekali gus akan mencemar kualiti air.
"Sampel barang terjadual dan sampel tanah telah diambil untuk siasatan lanjut. Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan ini dilihat mencapai objektif dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan alam sekitar," katanya.
Tambah kenyataan itu, kerajaan negeri akan menggerakkan setiap agensi penguat kuasa untuk melakukan operasi dengan lebih kerap bagi memastikan setiap kilang yang beroperasi di Negeri Sembilan tidak bertindak sewenang-wenangnya sehingga mengakibatkan kesan jangka panjang kepada penduduk setempat dan alam sekitar.