GUA MUSANG - Hampir RM300,000 bantuan disalurkan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada golongan pelajar yang memerlukan di Kelantan dalam tempoh Januari sehingga Julai lalu.
Menurut Pengerusi YPM, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, bantuan itu turut dinikmati murid-murid Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang.
"YPM memberikan bantuan yang meluas bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh Kelantan, seramai 2,314 pelajar Bumiputera sudah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM275,675 bermula Januari sehingga Julai.
"Bagi kawasan pedalaman Orang Asli sebanyak RM18,900 sudah diperuntukkan membabitkan masing-masing 120 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dan 46 murid SK Pulat,” katanya pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) YPM di sini pada pada Rabu.
Ismail berkata, program CSR dilaksanakan khusus kepada pelajar Bumiputera B40 dan asnaf di daerah ini.
Kata beliau, ia termasuk Program Semai Kasih Komuniti Orang Asli yang bertujuan menyuntik motivasi dan seterusnya meningkatkan taraf pendidikan dan sosioekonomi penduduk Orang Asli yang terlibat.
"Kami hadir ke beberapa lokasi pos Orang Asli untuk menyampaikan bantuan dan melakukan program bersama penduduk tempatan,” ujarnya.
Ismail menjelaskan, YPM yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serius dalam memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya terhadap pelajar asnaf dan B40.
Katanya, agensi dan jabatan di bawah kementerian terbabit seperti Mara dan YPM akan terus dilibatkan untuk meningkatkan lagi akses pendidikan kepada masyarakat secara berterusan.