DAP ibarat ‘hantu’ kepada BN - Marzuki

Iklan
Marzuki

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) menggunakan strategi sorok ‘hantu’ DAP bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, BN kini sedang meyakinkan pengundi di kawasan majoriti Melayu itu bahawa satu undi kepada BN bukan satu undi kepada DAP.

Iklan
Iklan

"DAP ibarat ‘hantu’ kepada BN. Jika orang Nenggiri nampak ‘hantu’ DAP ini mereka akan takut untuk mengundi BN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam audio siar (podcast) Keluar Sekejap (KS) pada Isnin.

Iklan

Khairy Jamaluddin berkata, BN mempunyai banyak kelebihan untuk merampas kerusi DUN Nenggiri daripada PN disebabkan pelbagai kelebihan dimiliki gabungan itu.

Beliau mendakwa penyokong BN di Nenggiri tidak keliru bahawa undian itu adalah kepada parti tersebut bukan kepada DAP.

Iklan

PRK Nenggiri diadakan pada 17 Ogos susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN diwakili Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Bersatu mewakili PN, Mohd Rizwadi Ismail.

Selain itu, Marzuki mendakwa pimpinan UMNO tidak lagi menguasai dan menentukan dasar-dasar kerajaan memandangkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan parti itu tidak lagi dominan.

Tambah Marzuki, sebelum ini, UMNO yang menentukan dasar kerajaan, malah dibincang dan diluluskan dalam Perhimpunan Agung, namun tindakan tersebut tidak berlaku lagi.

"Kalaulah ini zaman dahulu, syarikat arak takkan dapat masuk sekolah. UMNO berdeham saja, semua parti lain senyap. Maknanya tak berani angkat kepala pun.

"Tapi sekarang yang berdeham ialah DAP dan UMNO tiada pilihan melainkan akur dengan deheman DAP.

"Inilah ‘hantu’ DAP yang mesti dapat dilihat oleh pengundi-pengundi Nenggiri terutamanya pengundi-pengundi UMNO. UMNO yang mereka lihat hari ini bukanlah UMNO yang mereka sokong dan bersetia sejak turun temurun dahulu,” katanya.