GUA MUSANG - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang bermula Sabtu lalu memberi limpahan rezeki kepada pekebun kecil kawasan itu apabila durian yang dijual laris bagai pisang goreng panas.
Pekebun, Kamil Abdul Majid berkata, jualan duriannya meningkat kira-kira sekali ganda ketika ini berbanding sebelum hari penamaan calon.
"Sebelum ini jualan durian saya sekitar 40 kilogram (kg) sehari tapi selepas kempen pilihan raya, ia naik ke kira-kira 80kg.
"Ramai orang-orang parti yang sibuk berkempen datang makan terus durian di gerai saya. Ada orang UMNO/Barisan Nasional (BN), Pas dan Perikatan Nasional (PN)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerainya di Kampung Kala pada Rabu.
Bapa kepada lima anak berkenaan memaklumkan, durian yang dijual adalah durian dari kebunnya yang terletak di kampung bersebelahan iaitu Kampung Pulau Setelu selain dibeli dengan pekebun kecil berdekatan.
Menurutnya, antara jenis durian paling laku ialah durian musang king kacuk yang cuma dijual pada harga RM15 untuk satu kg.
"Apa yang istimewa, durian ini dari baka musang king yang dikacuk dengan durian kampung. Isinya kuning seperti musang king biasa dan rasa berlemak.
"Harga bagi durian kampung biasa pula cuma RM6 satu kg bagi buah bersaiz kecil dan RM8 per kg bagi yang besar," ujarnya.
Kamil, 43, yang juga seorang mekanik menjual durian berkenaan di hadapan rumah dengan dibantu anak sulungnya, Nur Syakila, 18, bermula jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Sementara itu, Nur Syakila berkata, rata-rata pembeli yang menikmati durian dijual mereka turut memuji keenakan rasa durian ditanam di Nenggiri berkenaan.
"Mereka kata sedap dan sangat lemak. Walau tak semua isi kuning dan ada yang isi putih tetapi ia tetap lemak.
"Bila jualan laris, kadang-kadang bapa saya ambil lagi bekalan durian dengan pekebun lain pada sebelah petang," ujarnya.
Tempoh kempen PRK Nenggiri akan berakhir pada jam 11.59 malam pada 16 Ogos ini sebelum hari pengundian yang akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN dan PN.