TEMERLOH - Seorang peniaga kerugian kira-kira RM30,000 selepas kedai makannya rosak dihempap sebatang pokok yang tumbang di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, Haliza Mustaffa, 54, sedang sibuk memasak dibantu suaminya, Norizan Abu Bakar, 58, di dapur.
Menurut Haliza, sebelum kejadian dia ada terdengar bunyi seperti dahan pokok patah beberapa kali.
"Ketika kejadian, cuaca juga baik dan tiada pelanggan di dalam kedai.
"Saya dan suami sempat menyelamatkan diri dan syukur kerana tidak membabitkan sebarang nyawa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Kejadian itu menyebabkan banyak peralatan seperti kerusi, meja, tong air dan sebahagian struktur kedai musnah, selain kerosakan pada kereta Perodua Kelisa milik pasangan tersebut yang terletak berhampiran premis terbabit.
Haliza yang mengakui masih trauma dengan kejadian itu berkata, operasi kedai yang diusahakan sejak enam taun lalu ditutup buat sementara waktu.