SHAH ALAM - Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Taman Seri Muda Seksyen 25 dinaiki air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau berkata, walaupun semua pam berfungsi dengan dengan skala maksimum namun taburan hujan yang tinggi menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung jumlah kapasiti air.
Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyediakan dua pam tambahan di kunci air sekitar Seri Muda bagi mengurangkan keadaan banjir berkenaan.
"Hujan bermula sejak jam 4 pagi namun banjir mula berlaku di kawasan ini sekitar jam 9.10 pagi.
"Walaupun ada pam untuk salirkan air ke kolam takungan namun taburan hujan yang tinggi menyebabkan berlakunya banjir ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Pada tahun lalu, kawasan Seri Muda pernah beberapa kali dinaiki air sehingga menyebabkan mangsa perlu ditempatkan ke pusat pemindahan sementara.
Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata, selain taburan hujan yang tinggi, banjir tersebut juga dipercayai berlaku disebabkan oleh sikap sebilangan pihak yang membuang sampah di dalam longkang.
"Keadaan ini mengganggu sistem saliran dan menyebabkan kawasan ini sangat senang dinaiki air," katanya.
Dalam pada itu, Ganabatirau berkata, buat masa ini, semua agensi dan jabatan berkaitan telah turun padang bagi memantau keadaan banjir di kawasan tersebut.
Katanya, pada Disember tahun lalu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut meluluskan 30 projek khas pada tahun ini melibatkan penambahbaikan dan naik taraf longkang.
"Kebanyakan projek terletak di Seksyen 25 namun ia mungkin akan bermula pada pertengahan tahun ini selepas semua proses dan perancangan selesai," katanya.