GUA MUSANG - Kelantan boleh menjadi satu contoh kekuatan 'suara' rakyat jika pengundi mahu menukar kerajaan Persekutuan, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Nik Abduh berkata, ketidakpuasan hati rakyat terhadap isu penyasaran subsidi diesel perlu diterjemahkan menerusi keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
"Sekarang ini nak punggah sawit pun mahal. Ini maknanya (kerajaan) pandai perintah ke tak pandai?
"Kalau tak pandai, kena tukar. Kita kena mulakan di Nenggiri, biar (pentadbiran kerajaan negeri) kemas dan biar Kelantan sentiasa jadi contoh kekuatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Kelompok Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian di Serian di sini pada malam Selasa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis dan calon Perikatan Nasional (PN) PRK Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail.
PRK DUN Nenggiri bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Rizwadi dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN).
Ia diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun berikutan bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
Sementara itu, Nik Abduh yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Muhamad Jailani tidak ubah seperti Hang Jebat apabila bekas wakil rakyat UMNO berkenaan nekad menyertai Pas.
"Sepanjang lebih 50 tahun umur saya, saya rasa tak ada wakil rakyat UMNO masuk Pas. Memang betul-betul Hang Jebat Datuk Jailani ni.
"Ia juga satu sejarah dalam politik negara kita Malaysia. Ketika masih lagi bergelar wakil rakyat, tiba-tiba beliau masuk Pas," kata beliau.