Shamsul Azri dilantik sebagai KSN baharu

Iklan
Shamsul Azri

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu berkuat kuasa Isnin depan.

Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Shamsul Azri yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam akan menggantikan penyandangnya, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang tamat kontrak pada Sabtu ini.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat dan turut menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom serta European Institute of Business Administration (INSEAD).

Iklan

Shamsul Azri, 55, pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan KSN.

Iklan

Ia khususnya dalam usaha kerajaan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya.