Kes rokok seludup menurun berbanding 2023

Iklan
Kadar rokok seludup di Malaysia menurun dari 56.6 peratus pada tahun 2023 kepada 54.8 peratus pada Mei 2024. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Menurut kajian, kadar rokok seludup di Malaysia menurun dari 56.6 peratus pada tahun 2023 kepada 54.8 peratus pada Mei 2024.

Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) dalam satu kenyataan berkata, terdapat tiga jenis rokok seludup di Malaysia iaitu putih, kretek dan rokok dengan setem cukai palsu.

Iklan
Iklan

Rokok putih seludup menurun sebanyak 7.6 peratus dari 39.5 peratus pada tahun 2023 kepada 31.9 peratus pada Mei 2024.

Walau bagaimanapun, menurut CMTM, penurunan itu adalah diakibatkan oleh peningkatan sebanyak 6.9 peratus dalam rokok dengan setem cukai palsu dari 8.7 peratus pada tahun 2023 kepada 15.6 peratus pada Mei 2024.

Iklan

Sementara itu, rokok kretek seludup kekal tidak berubah pada 7.3 peratus.

"Justeru, CMTM mengiktiraf dan menghargai usaha yang terpuji oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah kepimpinan Ketua Pengarah, Datuk Anis Rizana Zainuddin serta agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dalam memerangi perdagangan rokok seludup,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Iklan

Daripada Januari hingga Mei 2024, JKDM berjaya menggagalkan lebih daripada 3,000 percubaan penyeludupan barangan seludup dan barang larangan.

Tindakan-tindakan itu telah memberi sumbangan besar kepada pengurangan rokok putih seludup selaras dengan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani kebocoran dalam ekonomi Malaysia.

"Sindiket penyeludupan semakin banyak menggunakan setem cukai palsu pada rokok seludup untuk menyembunyikan status haram mereka, menyebabkan sesetengah peruncit terpedaya memaparkan produk tersebut di rak mereka, dan mengelirukan pengguna untuk membelinya,” kata CMTM.

CMTM turut menggesa kerajaan untuk campur tangan dan melaksanakan penyelesaian yang lebih releven serta terkini bagi menangani lambakan rokok dengan setem palsu sambil meneruskan usaha untuk membanteras rokok seludup.

"Walaupun insiden rokok seludup masih menjadi sebahagian daripada kerugian hasil eksais yang ketara bagi kerajaan, penurunan kadar rokok seludup menunjukkan bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan berada di landasan yang betul,” kata kenyataan itu.

Penurunan rokok seludup memberikan peluang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan kalendar cukai tahunan untuk rokok, rokok kretek, cerut kecil dan produk tembakau yang dipanaskan dengan kenaikan cukai yang sederhana dan boleh diramal bagi menghalang pengguna daripada beralih kepada rokok seludup akibat ketidakmampuan membeli rokok sah.

Menurut CMTM, pendekatan ini boleh menjana hasil eksais tambahan untuk keraajaan mencapai objektif fiskalnya.