Kerajaan belum terima maklumat tepat punca Meta turunkan hantaran PM

Iklan
Fahmi

PUTRAJAYA - Kerajaan belum menerima maklumat tepat daripada Meta Platforms Inc (Meta) berhubung tindakan menurunkan sebahagian kandungan di akaun Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Meta bagaimanapun menyatakan komitmen untuk terus mengadakan perbincangan dan menerima maklum balas serta input daripada kerajaan.

Iklan
Iklan

"Sehingga Isnin lalu, kita tidak dapat maklumat tepat mengenai apa yang mengakibatkan konten dan kandungan dimuat naik dalam Facebook dan Instagram (PM) diturunkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Anwar dilapor sudah menerima permohonan maaf daripada Meta berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di akaun Facebook dan Instagram milik beliau.

Iklan

Pada Isnin, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah memanggil Meta untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pula melahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Anwar di platform Facebook serta Instagram pada 14 Mei dan 30 Julai lepas, yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.

Iklan

Fahmi turut meminta semua pihak termasuk pengamal media untuk memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung apa jua siasatan yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan itu.

"Saranan saya adalah untuk beri kerjasama dengan baik. Bagaimanapun, seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini dari segi sumber, kita di Kementerian Komunikasi hormati hak rakan media lindungi maklumat mengenai apa disebut sebagai whistleblower atau pemberi maklumat.

"Namun undang-undang sedia ada (masih) terpakai,” katanya.

Portal media tempatan sebelum ini melaporkan satu siasatan akan dijalankan oleh PDRM berhubung laporan sebuah portal yang menyiarkan berita mengenai rombakan besar-besaran dalam kepimpinan tertinggi polis. - Bernama