BUKIT MERTAJAM - Banyak kenangan indah, episod suka dan duka tercipta di Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) Cawangan Permatang Rawa yang dikendalikan Zakat Pulau Pinang (ZPP) di sini.
Memori itu dikongsikan seorang pesakit, Mat Yunus Ayub, 49, yang sudah 29 tahun mendapatkan rawatan dialisis selepas doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggangnya disahkan gagal berfungsi.
Bagi Mat Yunus, pusat hemodialisis itu sudah menjadi seperti rumah kedua buatnya berikutan dia perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu dan menghabiskan masa sekurang-kurangnya lima jam untuk setiap sesi.
Menurutnya, kakitangan dan pegawai perubatan di PHZ sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri meskipun ramai yang bersilih ganti sepanjang tempoh mendapatkan rawatan di sini.
Lebih bermakna, Mat Yunus yang dahulunya sudah tawar hati untuk berumah tangga akibat penyakit dialami turut bertemu jodoh dengan isterinya,Siti Sarah Mohd Rodzi yang juga pesakit di pusat rawatan ini.
"Kalau nak dikenang kembali memang terlalu banyak kenangan saya di sini, manakan tidak daripada hilang semangat kerana ujian kesihatan yang dialami hinggalah bertemu jodoh dengan isteri di pusat rawatan ini.
"Kami mula kenal pada tahun 2004 dan menyulam cinta selama setahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 2005," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, masalah buah pinggang yang dialami mula dikesan pada 1994 manakala isterinya pula kehilangan kedua-dua buah pinggang sejak 2002.
Tambahnya, selepas berumahtangga rutin rawatan yang dilakukan pasti akan ditemani isterinya malah mereka berdua saling menerima kekurangan masing-masing.
Bagaimanapun katanya, tarikh 1 Mac 2018 merupakan detik yang paling terkesan dalam hidupnya selepas pendamping setia selama 13 tahun sebelum ini terlebih dahulu dijemput menghadap Ilahi.
"Disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi memang doktor tidak galakkan kami menimang cahaya mata dan lepas pemergian isteri memang hidup saya kembali sunyi.
"Arwah sebelum ini pernah nyatakan keinginannya untuk mengerjakan umrah, namun hajat itu tak sempat untuk saya tunaikan," katanya lagi.
Mat Yunus berkata, dia mengambil masa hampir setahun untuk pulihkan semangat selepas kematian isteri malah katanya, kakitangan PHZ banyak memberikan semangat dan sokongan selama ini untuk reda serta kekal positif dengan dugaan dihadapi.
Pada masa sama, Mat Yunus menzahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan oleh ZPP sepanjang dia dan arwah isteri menerima rawatan di PHZ selama ini.