Azizulhasni lakar rekod baharu acara pecut

Iklan
Azizulhasni memulakan langkah positif pada Sukan Olimpik 2024 apabila membaharui rekod baharu kebangsaan acara pecut di Paris pada Rabu. Foto Facebook Azizulhasni Awang

JAGUH basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang memahat rekod kebangsaan baharu dalam acara pecut individu pada Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.

Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman mencatat masa 9.402 saat (s) dalam saingan kelayakan melibatkan 30 pelumba di Velodrome Saint-Quentin-en-Yvelines, Paris.

Iklan
Iklan

Pelumba berusia 36 tahun itu mengatasi rekod lama 9.523s yang dilakukan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) di Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.

Menerusi catatan masa tersebut membolehkan pelumba yang berasal dari Terengganu itu mara ke pusingan 1/32 untuk menduduki tempat ke-10.

Iklan

Turut berada dalam kelompok 24 terbaik ialah seorang lagi pelumba negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom.

Pelumba berusia 28 tahun itu mencatat 9.635s untuk berada di tangga ke-22.

Iklan

Pusingan kelayakan tersebut menyaksikan Harrie Lavreysen memecah rekod dunia menerusi catatan 9.088s untuk berada di tempat teratas.

Pelumba Belanda itu membaharui rekod yang terlebih dahulu dibuat oleh Matthew Richardson dari Australia melalui catatan 9.091s.