Rakyat Malaysia di California Selatan dinasihat waspada kejadian gempa bumi

Iklan

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang berada di California Selatan, Amerika Syarikat dinasihatkan supaya berwaspada berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku pada malam Selasa.

Ia susulan gegaran berukuran 5.2 magnitud berhampiran Bakersfield, California Selatan pada jam 9.09 malam.

Iklan
Iklan

Kejadian itu berlaku 24 kilometer (km) di kawasan barat daya Lamont dan 40 km dari selatan Bakersfield.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles sedang giat memantau keadaan gempa bumi yang berlaku.

Iklan

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan insiden tersebut.

"Kami turut berwaspada dengan kesan gempa bumi di California.

Iklan

"Semua rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas untuk terus berwaspada dan mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter menggegar Los Angeles namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan kerosakan.

Menurut badan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran berpusat berhampiran Barstow, California kira-kira 166 kilometer dari Los Angeles pada kedalaman lapan kilometer.

Penduduk di California Selatan juga terkesan akibat gempa itu sementara gegaran turut dirasai jauh di timur di Nevada.

USGS turut melaporkan dua gegaran susulan masing-masing pada magnitud 3.5 dan 2.7 dalam tempoh beberapa minit selepas gegaran pertama.

Mengulas lanjut, Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan terkini dan menyediakan maklumat yang diperlukan untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia di wilayah terjejas.

Tambahnya, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles di alamat 777 South Figueroa Street, Suite 600, Los Angeles, California atau membuat panggilan telefon di talian 1-213-892 1238.

"Kami akan terus memantau perkembangan terkini dengan teliti dan menyediakan maklumat yang diperlukan,” katanya.