Isu dokumentasi KL City: FAM, MFL bincang dalam masa terdekat

Iklan
Noor Azman

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius isu dokumentasi yang membabitkan Kuala Lumpur City FC (KL City) serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan First Instance Body (FIB) yang berlaku ketika ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk bola sepak itu akan mengadakan perbincangan dengan MFL dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Kita akan adakan perbincangan dengan MFL dalam masa terdekat ini," katanya ringkas.

Sebelum ini, FIB telah menjatuhkan hukuman pemotongan mata, denda dan menarik balik lesen AFC yang diberikan kepada KL City selepas pasukan itu didapati menghantar dokumen tidak tepat ketika memohon lesen kebangsaan dan AFC.

Iklan

Hukuman itu dijatuhkan selepas FIB melakukan proses siasatan secara menyeluruh bermula dengan semakan menerusi sistem AFC CLAS bagi mengesahkan segala deklarasi tunggakan yang menyatakan tiada sebarang tunggakan sehingga 30 Jun 2023 untuk lesen kebangsaan dan 31 Disember 2023 (Lesen AFC), dengan lampiran surat sokongan daripada agensi kerajaan, sebelum penilaian bagi keputusan pemberian lesen.

Selain itu, FIB yang merupakan badan bebas dilantik MFL turut melakukan proses audit dan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KL City serta Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada hujung bulan lepas.

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Rabu.

Hasil semakan FIB mendapati dokumen yang diserahkan KL City berhubung caruman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengandungi maklumat tidak tepat.

Ia sekali gus bercanggah dengan dokumentasi yang telah diserahkan kepada FIB sebelum tarikh akhir penyerahan dokumen kriteria kewangan pada 31 Ogos 2023 untuk lesen kebangsaan dan 31 Mac 2024 untuk lesen AFC.

Namun, timbul persoalan bagaimana dokumentasi tersebut boleh dimanipulasikan dan FIB juga telah meluluskan dokumen tersebut selain isu itu juga mendapat perhatian daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dalam pada itu, beliau juga menafikan AFC campur tangan dalam perkara tersebut cuma konfederasi itu memberikan nasihat supaya perkara itu dapat diambil perhatian.

"Saya tak nampak AFC campur tangan. Cuma saranan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John cuma suruh kita ambil berat.

"Kita juga sudah hantar surat kepada MFL dan mereka sudah menyiasat selain FIB dah keluarkan kenyataan dan kita hormati keputusan mereka," katanya.